Thursday, 10 October 2013

Bayi 10 bulan maut dilanggar ibu sendiri


Bayi 10 bulan maut dilanggar ibu alih kenderaan

 Salam....agak lama FF tidak update blog ini...malas rasanya tetapi bila melibatkan kes Ibu terlanggar anak ni..FF rasa terpanggil untuk menulis..kenapa? Kerana kes ini melibatkan keluarga FF sendiri dan FF turut berada di tempat kejadian...Tak sangka sebelum ni selalu share pasal orang sekarang terjadi pada ahli keluarga sendiri. Sebelum FF ulas kes ni...FF copy pasal kejadian ni seperti yang anda baca di akhbar2. Cuma ada sesetengah fakta tidak tepat dan keliru.

 Maut Dilanggar Kereta Diundur Ibu


KUALA TERENGGANU - Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan maut selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh ibunya di Kampung Bukit Besar di sini awal hari ini.

Kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu berlaku ketika ibu mangsa Faziah Yusuf, 35, cuba mengalih kedudukan kereta jenis MPV Proton Exora di garaj bagi memudahkan suaminya yang bertugas sebagai guru untuk keluar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata ketika mengundurkan kenderaan ibu mangsa tidak menyedari anak bongsunya merangkak keluar dari rumah ke belakang kereta.

"Akibat perlanggaran itu mangsa Muhammad Faqih Mohd Fitri yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu bapa mangsa Mohd Fitri Ngah, 40, berkata mengalih kenderaan bagi memudahkannya keluar bekerja memang menjadi rutin harian isterinya.

Namun ketika isteri sedang mengundurkan kereta, anaknya itu, bongsu dari enam beradik merangkak keluar ke garaj kereta di hadapan rumah dan mereka hanya menyedari kejadian itu setelah mendengar teriakan dari jirannya.

"Mendengar teriakan itu saya bergegas keluar rumah dan melihat isteri telah memangku anak kami dan bergegas menghantar ke Hospital.

"Biasanya anak saya tidak pernah merangkak keluar rumah namun hari ini dia merangkak sehingga ke garaj kereta," katanya ketika ditemui di rumah mayat HSNZ di sini. - Bernama

 

 

TRAGEDI OKTOBER



Kisah Ibu(Faziah)

Pagi itu seperti aktiviti kebiasaannya sementara menunggu anak-anak dan suami menyudahkan sarapan Faziah akan membantu memanaskan enjin kereta serta mengalihkan kenderaan untuk memudahkan suaminya ke sekolah memandangkan keadaan kereta yang berada di garaj ketika itu adalah dalam keadaan membelakangi pintu keluar. Perkara ini terpaksa dilakukan kerana dengan keadaan kenderaan yang agak besar dan keadaan ruang yang agak sempit memerlukan masa dan agak sukar. Sebelum keluar Aqih didukung oleh bapanya dan Faziah sempat berpesan kepada semua di situ menjaga Aqih kerana hendak mengalihkan kereta. Selepas mengeluarkan kereta dari garaj sebelum berhenti sebentar untuk mengundur masuk kembali di dalam kereta Faziah sempat mendengar suara Aqih dan sekilas melihatnya berada di muka pintu dengan pintu yang terbuka sedikit. Bila berpaling ke pintu sekali lagi Faziah melihat Aqih sudah tiada di situ...dia menjangkakan seseorang mengambil Aqih masuk ke dalam rumah... dia mengundurkan kereta dengan bantuan kamera kereta dan bayangan Aqih langsung tidak dilihat dan tanpa ragu-ragu dia mengundurkan kereta. Ketika itulah dia diterpa oleh kak Dah tanpa mengesyaki apa-apa berlaku dan terus mengundur kereta sehinggalah cermin diketuk  menyuruhnya berhenti.

 

Kisah Jiran(Kak Dah)

Sebelum ni Kak Dah jarang bangun awal pagi kerana dia bekerja di kedai makan hingga lewat pagi...apatah lagi untuk membuka tingkap rumahnya. Tetapi hari tu dia tergerak hati membuka tingkap kerana dia dengar rumah kami sunyi sepi tidak seperti selalu yang biasanya riuh rendah. Dia menggagak yang budak-budak sudah ke sekolah apatah lagi tidak mendengar enjin kenderaan yang biasanya dihidupkan setiap hari, malahan hanya ternampak sebuah kereta sahaja ketika itu dilaman. Masa tu pula kereta yang berada di garaj sudah dikeluarkan dan bersedia untuk mengundur masuk kembali ke garaj dan kak Dah tidak menyedari sebenarnya enjin kereta itu sebenarnya 'hidup' kerana langsung tidak mendengar bunyi enjinnya(kereta Exora baru sebulan dibeli) apatah lagi sebuah lagi kereta terlindung dan biasanya kereta Exora ditinggalkan dirumah. Pada masa tu kak Dah melihat Aqih merangkak keluar seorang diri di laman garaj. Dia tertanya-tanya kenapa tidak ada orang yang perasan dan tiada kawalan penjaga seperti selalu. Aqih merangkak keluar hingga ke tengah garaj. Tiba-tiba dia bangun bertatih dan terus menuju ke arah kereta dengan wajah ceria. Pada masa itulah tiba-tiba kak Dah ternampak kereta tiba-tiba bergerak ke arah belakang(reverse). Kak Dah menjerit (tetapi tidak didengari oleh Faziah) dan berlari turun tapi kereta tetap bergerak hinggalah dia mengetuk cermin kereta. Pada masa tu tayar sudah berada ke paras dada Aqih. Kak Dah menarik Aqih tapi tidak berjaya kerana kaki terlekat kejap dibawah tayar. Kereta terpaksa digerakkan kembali ke depan. Pada masa itu terdengan suara Aqih menangis sekejap tetapi terhenti dan darah laju mengalir dari mulut dan hidung hingga membasahi seluruh baju dan lantai....Kak Dah memegang Aqih dan meraung sekuat hatinya sehingga semua penghuni didalam rumah bergegas keluar....

 

 

 Kisah Aku(FF)

Waktu ketika itu seawal 7.00 pagi FF masih terlena...kalo diikutkan kebiasaan seawal 6.30 pagi sudah FF bangun untuk solat subuh dan bermain-main dengan anak-anak sedara termasuk Muhammad Faqih(Aqih). Sudah kehendakNya pada hari kejadian dan sehari sebelumnya FF ditimpa perasaan malas, rasa lemah longlai seluruh badan dan mengigil2 seolah-olah hendak demam, Bukan sahaja FF malah seluruh ahli keluarga FF merasa demikian dan berdebar-debar seolah-olah ada perkara yang buruk akan berlaku tetapi kami menepis perasaan itu. Alarm hp yang bunyi berterusan, tidak mampu membangunkan FF seperti selalu. Tak terdaya rasanya ketika itu untuk bangun.....hinggalah FF terkejut dengan teriakan dan tangisan suara perempuan yang meraung di luar rumah "mati dah Aqih! mati dah". Bila dengar nama Aqih disebut FF cepat-cepat bingkas bangun dan membuka tingkap bilik, Ya Allah! terpaku melihat jasad tubuh si kecil yang terkulai longlai dengan baju yang dibasahi darah.......Aqih dipegang oleh jiran yang kami panggil Kak Dah dan suaminya disisi yang hanya mampu memandang sayu... sekilas itu FF menjerit sekuat hati dan meraung memanggil nama Aqih...kaki terasa lemah dan hampir pitam dibuatnya...tak sanggup nak lihat apalagi turun ke bawah ketika itu....FF ambil sedikit kekuatan sehinggalah semua anak sedara yang lain(abang dan kakak Aqih) datang memeluk FF bagitau "Umi langgar Aqih". FF kuatkan semangat untuk tidak menangis dan tenangkan mereka kerana mereka lebih memerlukan kekuatan FF ketika ini. FF tahu diaorang masih muda dan trauma untuk menyaksikan semua ini apatah lagi Aqih disayangi semua orang dan seolah-olah mereka turut merasa bersalah kerana membiarkan perkara ni terjadi. Ketika itu kakak FF (Ibu Aqih) masuk dalam bilik FF dalam keadaan tenang(dalaman tak tahu) tetapi masih dalam kebingungan dan memeluk semua anak-anaknya meminta maaf(selepas kejadian tu Faziah mengamuk memarahi anak-anaknya yang lain kerana tidak menjaga Aqih) dan menenangkan mereka....Dengan kekuatan yang tersisa ketika itu, FF menghubungi keluarga terdekat dan dan menenangkan anak sedara termasuklah membersihkan darah di lantai walaupun hakikatnya hati terlalu pedih dan sebak. Panggilan dari abang Yie(abang ipar) menyuruh segera ke hospital bagi mendapatkan pengenalan diri dan dokumen Aqih disamping membawa Kak Dah sebagai saksi kejadian untuk rujukan doktor.. dan berita darinya 'Aqih masih ada' memberi sedikit kekuatan...tak putus-putus FF berdoa moga nyawa Aqih masih panjang....Akak ketika itu sedang menangis sambil memeluk baju Aqih dan memanggil-manggil nama Aqih terpaksa FF tinggalkan sebentar bersama anak-anaknya dan memintanya bersabar. Di Hospital sudah ramai yang mendapat berita dan menungu Aqih di unit Kecemasan dan Trauma, terdapat lebih kurang 30 orang kenalan dan keluarga terdekat sedang menunggu. Abg Yie teresak-esak di dalam bilik dan terpaksa ditenangkan. Tapi ternyata Allah lebih menyayanginya... setelah bertarung untuk hidup, nyata Aqih tak mampu bertahan lagi....ternyata hanya 11 bulan sahaja Allah pinjamkannya untuk kami...tiba masanya Allah mengambilnya kembali....Allah lebih sayangkan dia...lebih kurang 7.30 pagi dia meninggalkan kami untuk selamanya di HSNZ akibat beberapa kecederaan organ dalaman yang pecah.....FF tak dapat menahan sebak membayangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung Aqih ketika ajal menjemputnya.....Ya Allahhhhh........tapi aku redha andai itu yang terbaik untuknya dari dirinya terpaksa menanggung derita.

 

Jenazah tiba di kampung Gong Pauh, Wakaf Mempelam(rumah ibu abang ipar) kira-kira pada pukul 1.00 tengahari dengan diiringi kereta polis dan wartawan. Kehadiran ramai wartawan ketika itu menyukarkan keadaan ....lebih-lebih lagi yang mendesak untuk menemubual kakak sedangkan akak FF masih lagi dalam keadaan trauma dan bersedih tetapi sebagai manusia dan memahami tugasnya kami melayan sebaik mungkin dan cuma meminta supaya tidak menganggu kakak FF ketika itu. Pada pukul 2.30 jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merbau Patah bersebelahan kubur arwah ayah sepupunya dan di atas kubur moyangnya.. Moga rohnya aman disana..Amin....

 


 




 

Aku dan Aqih

Sehari sebelum kejadian itu....awal pagi itu, FF terjaga dan tersentak dari tidur setelah bermimpi gigi kecil yang telah bergoyang dan menunggu masa untuk tercabut. FF bangun dalam keadaan badan yang sungguh letih dan tubuh yang terasa seram sejuk dan mengigil seolah-olah demam. Longlai rasa hendak berjalan pagi itu ditambah dengan hati yang tidak tenteram dan berdebar-debar sejak semalamnya itu. FF menceritakan keadaan itu kepada kakak dan nyata dia turut mengalami dan merasa perkara yang sama. FF turut menceritakan pasal mimpi pagi itu adakah itu maksud kematian tetapi kakak menganggap itu mungkin maksud lain. Kami berkongsi2 cerita tentang perasaan itu dan mimpi masing-masing tentang gigi tercabut sebelum ini. Ini bukanlah kali pertama FF bermimpi pasal gigi, sebelum ini kira-kira sebulan yang lepas FF sudah bermimpi gigi tercabut yang biasanya dikaitkan dengan kematian. Memandangkan perasaan yang tidak tenteram dan gelisah, FF cuba menghubungi kenalan untuk bertanya khabar. (Dalam waktu yang sama, kakak FF yang sulung juga mengalami sakit dalam perut hingga tidak boleh bergerak dan hati berdebar-debar seolah-olah menjangkakan akan berlaku kematian tetapi hal itu dipendamkan) Petang itu FF cium Aqih sepuas hati kerana geram(sayang) dan mengigit pipinya hingga dia menangis kesakitan. FF terlalu tidak puas membelai dan menciumnya sejak akhir2 ini apatah lagi sikapnya yang tak suka dicium menambahkan lagi "geram"padanya. Biasanya bila dia tidak suka akan sesuatu perkara dia akan memukul muka FF atau menyembur bibirnya sambil  menjeling. Itu membuatkan FF lebih galak untuk mengusiknya dan membuatnya marah. Pada malamnya kami sekeluarga penuh dengan gelak tawa melayan karenah Aqih yang begitu ceria dengan keletahnya. Dia begitu teruja untuk berjalan pada malam itu, sudah hampir berani untuk bertatih seorang tanpa pujukan kami seperti sebelum ini yang kerap memaksanya berjalan. FF memang suka menimang Aqih dan nyata malam itu FF sendiri kepenatan melayannya.  Akibat keletihan dan badan yang masih terasa lemah FF tertidur awal pada malam itu. Ternyata itulah saat terakhir FF dengannya dan pastilah menjadi kenangan terindah yang ditinggalkan untuk FF sampai bila-bila. Yang pasti FF redha kerana pasti syurga sudah miliknya cuma kadang-kadang perasaan rindu, terkilan, bersalah dan sebagainya kadang-kadang menghantui. "Hanya sedekah, doa dan al-Fatihah yang dapat Chik hadiahkan untuk Aqih disana selepas ini. Moga Aqih tenang dan Allah tempatkan di SyurgaNya, insyallah harapnya Chik dan kami disini juga dapat mengikut jejak Aqih hingga ke Syurga Abadi dan moga-moga kita dapat jumpa diSANA nanti. Chik terlalu merindui Aqih dan sayang akan Aqih seperti anak sendiri. Hanya memori, gambar, video dan barang-barang Aqih menjadi pengubat rindu Chik disini".

 

Buat sesiapa diluar sana pula jangan la menghukum kami kerana kami amat-amat mengambil berat soal keselamatan dan berjaga-jaga sebelum ni, malah sebelum menghidupkan kenderaan, setiap ahli keluarga sentiasa diberi peringatan amaran dan mengambil langkah berjaga-jaga. Malah dengan sifat Aqih yang aktif memang 24jam dalam pemantauan sentiasa, tak pernah sedetik kami membiarkannya bersendirian. Malah apabila terbaca kes lain yang serupa sebelum ini, kami selalu membahas dan mempersoalkan tentang kecuaian keluarga itu sendiri. Allah Maha Kaya, mende yang kita persoalkan akhirnya terkena pada diri sendiri dan keluarga akibat kesilapan sedetik cuma kita terleka, mungkin sudah kehendakNya Aqih meninggalkan kami dalam keadaan tragis dan masih sukar diterima semua ahli keluarga kerana kami terlalu menyayanginya dan masih terkejut dengan kejadian yang tak disangka2 ini. Cuma pesanan buat semua jadikan ini sebagai pengajaran, mungkin ada hikmah untuk diri sendiri, keluarga dan seluruh masyarakat di luar sana.... anak adalah amanat dan anugerah Allah yang tidak ternilai, jagalah dia sebaik mungkin. Kekadang sesuatu yang tak terjangka itulah yang akhirnya akan terkena pada diri. Jangan kita sesuka hati menghina dan mengutuk orang lain tanpa mengetahui kisah disebaliknya, ambil ia sebagai ikhtibar kerana apabila sudah terkena pada diri sendiri  baru kita akan tersedar dan rasa sakitnya ...

 

 





 

No comments:

Post a Comment