Info, Tempat Menarik, Makanan, Penginapan, Lain-lain, about Us

Wednesday, 17 April 2013

Tarian Ulek Mayang


Ulek Mayang

Salah satu tarian asli masyarakat Terengganu yang terkenal ialah tarian Ulek Mayang. Ia  dinamakan Ulek Mayang kerana bahan asas semasa persembahan ialah seikat mayang kelapa atau pinang. Ulek(ulik) pula merujuk kepada maksud berdondang atau mengulit-ngulit atau dalam erti tarian ini yang membawa maksud menyeru-yeru sambil menyanyi. Maka dapat kita simpulkan bahawa tarian Ulek Mayang ini adalah sejenis tarian yang berunsurkan permujaan dan menyeru semangat melalui mayang yang dipuja. Berdasarkan sumber yang FF dapat tarian ini wujud pada zaman pemerintahan sultan Umar(1839-1870), jadi lebih kurang 174 tahun yang lalu la. Ia dikatakan berasal dari Tanah Seberang iaitu Kepulauan Jawa. Tapi menurut sumber lain pula, ia berasal dari pulau berdekatan tidak dikenali, dimana tarian ini merupakan tarian keasyikan keagamaan pra islam yang diringi dengan oleh nyanyian dan muzik di Terengganu. Tarian ini juga dikatakan berasal dari tujuh puteri yang menghuni Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan penduduk setempat untuk meminta bantuan termasuk mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mantera. Ulek Mayang adalah salah satu menyembah tarian dalam tarian Melayu. Ulek Mayang adalah seni persembahan Melayu yang boleh dianggap seni teater muzika kerana di dalamnya terdapat bermacam-macam seni persembahan, pantunnya dilagukan, ada tarian mengikut lagu dan irama, dilakonkan oleh peranan-peranan seperti tujuh puteri, watak pawang dan pesakit. Tarian ini lebih kepada cara hidup masyarakat tradisi Terengganu yang sinonim dengan aktiviti menangkap ikan dan kepercayaan kepada unsur roh dan semangat laut yang sebati dengan hidup mereka. Dalam upacara tersebut terdapat unsur pergerakan yang lembut dan sopan, kerana itu ia kemudiannya diterjemahkan dan diangkat ke dalam bentuk seni tarian dan akhirnya menjadi salah satu tarian kebudayaan yang popular di Terengganu. Namun pada hari ini, disebabkan pengaruh islam dan terdapat unsur syirik dan khurafat didalam tarian tersebut maka kepercayaan atas semangat telah tiada lagi dan tarian ini cuma tinggal sebagai bentuk hiburan sahaja.
 
Ulek Mayang

Tarian bermula menceritakan tentang sekumpulan nelayan turun ke laut menangkap ikan dan tanpa diduga terjadi malapetaka iaitu kejadian ribut yang tak terduga, dalam kekalutan untuk menyelamatkan diri setelah perahu dihempas ombak yang bergelora, mereka berjaya selamatkan diri dan dihanyutkan ke pesisir pantai, tetapi salah seorang daripada mereka telah hilang, hinggalah suatu hari pemuda yang hilang dijumpai  tetapi masih tidak sedarkan diri. Seorang Bomoh telah dipanggil bagi merawat pemuda tersebut. Bomoh menggunakan mayang kelapa atau pinang dengan menguleknya berkali-kali ke atas pesakit hingga mayang tersebut dirasakan bergerak sendiri tanda kehadiran semangat(menurun). Rupa-rupannya puteri laut telah menyelamatkan pemuda tersebut tetapi masih tidak mahu melepaskan pemuda tersebut kerana telah jatuh cinta dengannya. Maka bermulalah proses pertarungan antara bomoh dan puteri-puteri tersebut. Setiap kali bertarung dua orang puteri akan muncul sehingga lengkap menjadi enam. Pertarungan tersebut menjadi semakin sengit hingga muncul puteri ketujuh(7) iaitu puteri yang bongsu, yang lebih rupawan, kuat dan bijaksana. Bomoh merayu dan meminta bantuan puteri ke-7, supaya memulangkan kembali jasad pemuda tersebut. Akhirnya dengan bantuan Puteri ke-7, pertarungan dapat dihentikan tetapi sebagai syarat puteri-puteri itu dijamu dengan nasi pulut kuning dalam upacara semah(memberi makan jin laut) iaitu upacara yang diamalkan sebelum kedatangan islam. Semasa persembahan ini, tujuh orang penari wanita melatari persembahan dengan memakai pakaian yang cantik mewakili ketujuh-tujuh puteri laut yang datang semasa upacara penyembuhan tersebut. Kemayan turut akan dibakar bersama semasa upacara penyembuhan bersama dengan berdikir pantun dan menari melalui seluruh persembahan. Kadang-kadang rebab dan seruling juga digunakan untuk mengiringi nyanyian dalam bentuk puisi dan sajak-sajak.


Ritual ulek Mayang

Mayang Kelapa

Inilah mayang kelapa yang FF baru pecahkan seludangnya.

Ulek Mayang merupakan acara ritual masyarakat Terengganu beberapa abad yang lalu. Pada zaman itu, Ulek Mayang amat popular sebagai upacara pengubatan penyakit kepada masyarakat melayu Terengganu yang tinggal di pesisiran pantai dan bekerja kelaut. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan mayang pinang. Mayang dibangkit dengan semangat dan dibangunkan dengan semah asal usul. Dalam peranannya menyembuhkan penyakit, pawang akan menggunakan mayang pinang yang masih lagi dalam seludangnya dan tidak boleh menggunakan mayang pinangnya seludang sudah pecah, sebiji guri tembaga atau batil yang berisi air, sebatang lilin yang diperbuat dari sarang dan madu lebah, bertih padi (bertih jantan), kemenyan dan beberapa kuntum bunga, biasanya bunga cempaka, melati dan melor. Lilin dinyalakan dan kemudiannya diletakkan dalam batil atau guri tembaga yang berisi air. Apabila sampai waktunya maka pawang membakar kemenyan dalam dupa yang siap dengan bara api, dan seterusnya melihat arah asap yang sekaligus memberi petunjuk bahawa arah itulah nanti penyakit akan dibuang dan dari arah yang berlawanan pula "Puteri Tujuh Beradik" dipanggil bagi menyempurnakan proses pengubatan. Sewaktu proses tersebut dijalankan, ianya akan diiringi oleh seloka dan pantun oleh rakan-rakan pesakit yang lainnya. Persembahan ini dilakukan beramai-ramai terutamanya pada waktu malam bulan purnama di tepi pantai dengan membuat bulatan dan dukun atau pawang yang memegang mayang pinang duduk di tengah-tengah dan pada peringkat awalnya tidak ada alat muzik yang mengiringi persembahan ini. Pada kebiasaannya, para pemain terdiri dari mereka yang berusia lingkungan 15 hingga 40 tahun. Terdahulu, setiap peralatan itu diasap dengan kemenyan tadi satu persatu bermula dengan seludang mayang, diikuti dengan bunga dan peralatan lainnya. Setelah itu bomoh pun menutup kepala dengan kain batik lepas dan dililit 'semutar' dan separuh badannya ditutupi dengan kain putih yang menggunakan benang kapas dan duduk bersila sambil mengulek atau mengugam. Mengugam atau mengulek membawa maksud menyanyi dan melihat waktu yang baik untuk memohon pertolongan dan caranya ialah menyanyi dan menari. Pada waktu bomoh mula menyanyi rebana pun dimainkan untuk mengiringi nyanyian pawang dengan tingkah laku tertentu yang mulanya perlahan kemudian kepada nada yang lebih sederhana dan tinggi serta tidak boleh tersalah iramanya kerana ini akan mengurangkan konsentrasi bomoh dan tidak akan membawa turun 'Puteri Tujuh' ke alam maya dan semangat. Dalam upacara yang dianggap permainan ini, seorang bomoh atau pawang akan memulakan persembahan dengan membaca mentera memuja sejambak mayang pinang itu akan bergerak perlahan-lahan dan menari-nari dengan sesiapa sahaja yang memegang mayang tadi. orang yang memegang mayang akan ikut bergerak mengikut gerakan mayang yang dipegangnya. Gerakan mayang yang menari-nari dengan pawang itu merupakan kemuncak kepada persembahan ini. Pada peringkat terakhir, bomoh akan memecahkan mayang kelapa dengan menghempaskannya ke pasir atau menghempaskan sedulang mayang tadi ke telapak tangannya. Di saat inilah sedulang mayang tadi digerak-gerakkan memanggil-manggil tujuh orang puteri dan akan dipanggil seorang demi seorang. Puteri Satu adalah puteri tertua dan sulong yang harus dipanggil dengan tertib dan hormat sehinggalah Puteri Tujuh yang terakhir iaitu puteri bongsu dan merupakan puteri yang paling cantik dan paling sakti. Dipanggil untuk mengulek dan melihat si pesakit jikanya bertujuan untuk pengubatan dan akan merahmati persembahan ulek mayang jika ianya untuk persembahan hiburan. Kedatangan setiap puteri disambut dengan taburan tujuh biji bertih jantan dan biasanya setiap orang puteri akan memberi salam dan salam ini hanya dapat didengari oleh Pawang atau Peduan sahaja. Semasa perbualan antara peduan dan Puteri ke-Tujuh ini berlangsung, penepuk gendang akan menghenti menepuk rebananya dan jika rebab digunakan menggantikan rebana, pemain rebab akan menghentikan gesekan rebabnya. Ini bagi mengelakkan penonton atau mereka yang berada di tempat tersebut terasuk atau "tergerak angin" yang kemudiannya menjadikan suasana semakin rumit, iaitu diubati tidak sembuh, yang tak sakit mendapat penyakit. Dalam teater Ulek Mayang “permainan” setiap puteri mempunyai identiti yang berbeza berdasarkan urutan dan ketuaan usia mereka. Terdahulu, perlu dijelaskan maksud “permainan” dalam konteks Melayu daerah timur Semenanjung Malaysia yang membawa pengertian teater, persembahan, lakonan yang semuanya bertujuan untuk hiburan dan seringkali mengisi majlis-majlis diraja. Dalam bahasa mereka tidak terdapat istilah teater, drama atau lakonan, jadi istilah “main” atau permainan merujuk kepada segala bentuk teater, lakonan dan seni pentas dan seni persembahan. Ketujuh-tujuh puteri ini berpakaian sama dan setiap orang akan menyanyikan lagu secara solo atau beramai-ramai sama ada dalam persembahan permainan atau pengubatan, ke tujuh orang puteri itu menghilangkan diri pulang ke laut. Hal ini sesuai dengan persekitaran hidup masyarakat pesisir pantai Kuala Terengganu, Marang dan Dungun, istilah "berselendang kuning" adalah manifestasi  kepada laut dan jika berselendang hijau merujuk semangat hutan yang berwarna hijau.



Peranan Ulek Mayang, Pantun dan Mantera Melayu.

Ulek Mayang tidak bermakna tanpa pantun dan mantera. Ini adalah kerana ketiga-tiga seni pengucapan ini dilakukan serentak dalam persembahan (perbomohan dan pengubatan) dan ketiga-tiga aspek ini saling berkait antara satu sama lain. Sebenarnya peranan pantun dalam tradisi masyarakat Terengganu bukan hanya tertumpu dalam persembahan Ulek Mayang sahaja, malah dijadikan senikata lagu rodat, lagu-lagu persembahan gamelan, makyong Kampung Raja, dikir barat di Besut, pantun rejang Ulu Dungun dan banyak lagi kesenian daerah negeri Terengganu. Berbalik kepada penggunaan pantun dalam persembahan Ulek Mayang, ia dapat dilihat fungsi magisnya iaitu sewaktu upacara "memanggil" ketujuh-tujuh Puteri Tujuh turun menyertai acara atau upacara menurun bagi mengubati penyakit. Puteri Tujuh merupakan lambang daripada mitos masyarakat, dan ianya juga sebagai watak-watak yang sentiasa hadir dalam kebanyakan cerita-cerita lisan tempatan, watak atau peristiwa yang ada hubungan lagenda dan sejarah tempatan atau pandangan dunia semesta masyarakat Melayu secara umumnya. Mitos dan lagenda, warisan daripada cerita-cerita lisan dan sejarah tempatan, atau mungkin watak-watak dan peristiwa hari-hari dan telatah manusia dalam masyarakat setempat, dijadikan juga lambang-lambang atau semacam direct statement tersemat dalam mana-mana kedudukan dalam serangkap pantun. Malah penggunaan pantun Ulek Mayang dapat dilihat melaui bait liriknya keperihalan tentang puteri yakni berbaju serong di baris pertama, bersanggul sendeng dibaris kedua, bersubang gading dibaris ketiga dan berselendang kuning di baris keempat. Begitulah hingga puteri ketujuh. Pantun di atas dinyanyikan pada peringkat menghidupkan mayang. Apabila mayang telah hidup dan 'puteri tujuh' telah turun dan teresap sama ada kepada pesakit, suasana akan menjadi rancak maka pelbagai jenis pantun akan dinyanyikan namun lebih memfokuskan kepada 'puteri' yang dikaitkan dengan semangat suatu bentuk aforisme, iaitu menghaluskan ungkapan sebagai lambang atau kias kepada tujuh jenis semangat yang terdapat di dalam diri pesakit dan juga di alam ghaib termasuk, hantu, jin, penunggu, roh dan sebagainya.


Sekarang Ulek Mayang hanya dikaitkan sebagai persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang di beberapa lokasi di Terengganu seperti di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Kini, Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampuradukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera. Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit. Ada dua versi iaitu versi sekumpulan lelaki bermain sepak raga dan versi sekumpulan nelayan sebelum seorang daripada mereka terkena sampuk. Kini persembahan Ulek Mayang yang dimainkan sekadar untuk suka-suka saja, dimana ia melambangkan suatu pemujaan mendalam terhadap Tuan Puteri tujuh beradik. Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu. Doa dan ‘bangkitan’ dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa apa-apa kemalangan.


Lirik

Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri
Ulek mayang diulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya dua

Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya empat

Puteri empat berbaju serong
Puteri empat bersanggol sendeng
Puteri empat bersubang gading
Puteri empat berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya enam

Puteri enam berbaju serong
Puteri enam bersanggol sendeng
Puteri enam bersubang gading
Puteri enam berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tujuh

Puteri tujuh berbaju serong
Puteri tujuh bersanggol sendeng
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Tuan puteri berbaju serong
Tuan puteri bersanggol sendeng
Tuan puteri bersubang gading
Tuan puteri berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Ku tahu asal usul mu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan
Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala

(Memandangkan ada kekeliruan tentang puteri 1,3,5. Kajian FF mendapati persembahan sebenar bait lagu ini agak panjang kerana ia bermula dari puteri 1 hingga ke 7 turut disebut, tetapi diringkaskan dengan syarat mewakili sahaja.

P/S : Keputusan Fatwa Negeri Terengganu Darul Iman terhadap lagu Ulek Mayang: Setelah diteliti terhadap seni kata lagu Ulek Mayang didapati ada mengandungi unsur-unsur pemujaan, maka dibandingkan perkara ini akan membawa kepada terpesongnya akidah Islamiah. Untuk memelihara kesuciannya maka perkara-perkara seperti ini hendaklah dielakkan dan ditinggalkan (sekadar ingatan khas untuk orang islam).

 

 

 

1 comment:

  1. assalam nk tya...Ulik mayang pameran galeri di muzium terengganu di bahagian galeri mana ya???

    ReplyDelete