Info, Tempat Menarik, Makanan, Penginapan, Lain-lain, about Us

Sunday 14 April 2013

Geografi dan Sejarah Pembentukan Negeri Terengganu

Peta Terengganu

Kedudukan negeri Terengganu pada peta Malaysia

Negeri Terengganu Darul Iman merupakan salah satu negeri yang terdapat di Timur Semenanjung Malaysia. Merupakan negeri yang telah dinaik taraf sebagai "Bandaraya Warisan Pesisir Pantai" sesuai dengan kedudukannya  yang sememangnya terkenal dengan keindahan pantai yang bersih dan landai, juga pulau yang indah. Terengganu terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Bersempadan dengan negeri Kelantan pada bahagian utara dan barat laut manakala  negeri Pahang pada sebelah barat daya dan selatan. Pada masa sekarang, keluasan negeri Terengganu adalah kira-kira 1,295,638.3 hektar/1,295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari Besut(utara) hinggalah ke Kemaman(selatan).

Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan(9) daerah di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu. Daerah dalam negeri Terengganu kemudiannya dikurangkan kepada enam(6) iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Besut. Daerah ke-tujuh(7) negeri Terengganu kemudiannya dibentuk pada 1 Januari 1985, iaitu daerah Setiu. Tiap-tiap daerah ini ditadbir oleh Pegawai Daerah. Keluasan daerah tersebut adalah:

Kuala Terengganu               60,654.3 hektar
Kemaman                         253,559.9 hektar
Dungun                            273,503.1 hektar
Marang                              66,654.3 hektar
Hulu Terengganu              387,463.6 hektar
Setiu                               130,436.3 hektar
Besut                               123,367.8 hektar

Rekod Arkib Negara menunjukkan sempadan daerah Negeri Terengganu telah berubah beberapa kali sejak lebih 50 tahun yang lalu. Dalam tahun 1921 Negeri Terengganu telah dibahagikan kepada lapan(8) daerah iaitu Kemasik, Paka, Kerteh, Dungun, Marang, Kuala Berang, Setiu dan Besut. Pada tahun 1923 daerah negeri ini berubah sekali lagi tetapi masih kekal dengan lapan(8) daerah dimana daerah Kemaman telah diwujudkan dan daerah Setiu dihapuskan. Namun begitu dalam tahun 1935 daerah negeri ini dibahagikan semula dan dijadikan sepuluh(10) daerah yang dikenali sebagai Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Merang, Setiu dan Besut. Dalam tahun yang sama satu persidangan mengenai sempadan negeri telah dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Terengganu dan persidangan tersebut dikenali sebagai 'Christmas Conference' yang mana bertujuan untuk menyusun semula sempadan daerah. Hasil daripada persidangan tersebut keputusan telah dibuat seperti berikut:

- Daerah Kemaman dan Kemasik telah dicantumkan menjadi daerah Kemaman
- Daerah Dungun dan Paka telah dicantumkan menjadi daerah Dungun.
- Daerah Merang, Batu Rakit dan Kuala Terengganu telah dicantumkan menjadi daerah Kuala   Terengganu.
- Daerah Besut dan Setiu telah dicantumkan menjadi daerah Besut.

Perubahan sempadan ini dibuat adalah kerana ketidakcekapan pentadbiran serta keluasan yang tidak ekonomik serta tidak dapat memberi perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat. Dalam tahun 1980 Kerajaan Negeri telah meminta Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU) supaya membuat kajian kemungkinan kekesanan sempadan daerah negeri Terengganu. Hasil kajian tersebut Kerajaan Negeri telah bersetuju menubuhkan daerah Setiu pada 1 Januari 1985 dimana sebahagian daripada mukim-mukim dari daerah Kuala Terengganu dan Besut dimasukkan ke daerah Setiu.

Penduduk Terengganu bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1912 penduduk Terengganu berjumlah 153,765 orang. Pada tahun 1951 seramai 236,300 orang. Seterusnya meningkat lagi pada tahun 1959 ke angka 278,147 orang dan tahun 1960 seramai 306,942. Pada tahun 1963 berjumlah 339.816 orang dan pada tahun 1970 berjumlah 405,751 orang. Jumlah seterusnya meningkat pada tahun 1990 ke angka 756,300 orang. Kini (1998 ) penduduk Terengganu kira-kira 1 juta orang. Daripada jumlah ini 90 peratus adalah orang Melayu dan bakinya terdiri daripada orang Cina dan India. Ibu negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu. 

Kegiatan utama ekonomi ialah perikanan. Hasil Petroleum menguatkan lagi ekonomi negeri. Setiap daerah di Terengganu semuanya mempunyai tarikan tersendiri sama ada dari segi keindahan alam semulajadi seperti pulau, pantai, tasik mahupun air terjun yang menjadi tarikan pelancong untuk melihat keindahannya. Sememangnya Terengganu memang terkenal dengan keindahan alam semulajadi, kerana itulah ia menjadi rebutan beberapa syarikat filem tempatan dan luar negara sebagai lokasi penggambaran. Terengganu juga sememangnya cukup terkenal dengan nasi dagang, keropok lekor, songket, sutera, tembaga dan batik.

No comments:

Post a Comment