Info, Tempat Menarik, Makanan, Penginapan, Lain-lain, about Us

Tuesday, 2 April 2013

Asal Usul Nama Daerah Di Negeri Terengganu

Kuala Terengganu

Seperti  mana yang telah FF bagitau asal usul nama Terengganu, begitulah juga dengan nama daerah Terengganu yang merupakan 'Ibu Negeri' bagi negeri Terengganu ni mendapat namanya. Kuala pula memandangkan keadaan bentuk geografi di sini dimana terdapat sebuah tanjung(muara) yang tinggi hasil aliran sungai Terengganu ke lautan yang mengadap Laut China Selatan. Aliran sungai tersebut memang berada pada pusat bandar Kuala Terengganu pada masa sekarang ni yang menjadi tarikan pelancong dan penduduk setempat untuk pelbagai aktiviti termasuklah Monsun Cup International. Malah di sepanjang aliran sungai Terengganu ini terdapat pulau-pulau yang terkenal sebagai tempat pelancongan  iaitu pulau Duyong, pulau Wan Man dan pulau Warisan(buatan).  Kuala Terengganu bukan sahaja ibu negeri bagi Terengganu tetapi merupakan Bandar Diraja Terengganu. Kuala Terengganu telah diakui sebagai bandaraya yang dikenali sebagai 'Bandaraya Warisan Pesisir Air"  pada 1 Januari 2008.


Hulu Terengganu

Kalau Kuala Terengganu merupakan hilir, pasti akan ada hulunya, mesti kita dapat agak kan asal usul nama Hulu Terengganu ni, dah semestinya kerana ia berada di bahagian hulu Terengganu yang merupakan kawasan tadahan air sebelum punca air mengalir  ke hilir sungai. Di sini memang terdapat kawasan air terjun yang terkenal iaitu air terjun Sekayu, air terjun Langsir, air terjun Soak, air terjun Tembat dan sebagainya  lagi. Di sini juga terdapat sebuah  tasik buatan manusia yang terkenal iaitu 'Tasik Kenyir' yang merupakan Stesen Janakuasa Elektrik dan tempat kaki memancing dan pelancong menikmati keindahan alam. Hulu Terengganu juga merupakan salah satu hutan simpan yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi termasuklah gua-gua peninggalan sejarah.

Di sini juga terdapat tempat bernama Kuala Berang yang merupakan tempat penemuan Batu Bersurat, sejarah awal kedatangan islam ke Tanah Melayu. Orang Kuala Berang merupakan orang Terengganu yang membina petempatan paling jauh dari pantai dan sehingga ke hari ini mereka digelar ‘orang hulu’ atau ‘orang darat’. Walau bagaimanapun, Kuala Berang adalah pusat pemerintahan terawal bagi orang melayu Terengganu sebelum pusat pemerintahan kesultanan Terengganu dipindahkan ke Kuala Terengganu.


Marang 

Asal usul nama Marang pula terdapat pelbagai versi tetapi yang paling popular dikatakan nama Marang ini berasal daripada nama seorang peniaga Cina yang masyhur suatu ketika dahulu. Peniaga ini hanya dipanggil dengan panggilan ‘Ma’ sahaja. Beliau menetap di kuala sungai dan mengusahakan hasil tangkapan laut yang dikeringkan seperti ikan dan sotong. Proses pengeringan hasil laut ini dilakukan secara tradisional ketika itu dengan mengeringkannya di atas pepara yang dipanggil ‘rang ‘oleh penduduk tempatan. Oleh kerana banyaknya ‘rang’ yang digunakan  lama-kelamaan perkataan ‘Ma’ dan ‘rang’ disebut menjadi serentak dan menjadi satu maka lahirlah nama Marang. Marang  juga  terkenal dengan keindahan pulau Kapas dan pulau Gemia.


Setiu

Nama daerah Setiu berasal daripada nama seorang pahlawan Bugis. Ia bermula akibat peperangan antara Belanda dengan Bugis dimana pihak Belanda telah menang. Kekalahan Bugis ini menyebabkan ramai orang-orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka termasuklah Tok Setiu. Tok Setiu merupakan seorang Panglima Raja Bugis. Negeri Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad II iaitu Sultan Terengganu yang ke X (1875 hingga 1881). Apabila Tok Setiu mendarat ke Terengganu, beliau pun menemui baginda Sultan Ahmad untuk memohon menumpang tinggal di Terengganu. Baginda Sultan Ahmad II telah bersetuju dan perkenankan permohonan Tok Setiu dan orang-orangnya. Tok Setiu dan pengikutnya mencari tempat yang sesuai untuk dibuat perkampungan dan akhirnya memilih sebuah tempat yang sekarang dikenali sebagai Kampung Bukit Tok Setiu. Disinilah tempat Tok Setiu dan orang-orangnya berkampung dan menjalankan kerja-kerja harian mereka. Selain daripada bertugas sebagai Ketua Kampung, Tok Setiu juga berperanan sebagai guru silat dan ramai penduduk yang belajar dengannya.

Semasa pemerintahan Tok Setiu, beliau telah meninggalkan banyak jasa antaranya membuat tandak-tandak sungai yang berfungsi untuk memudahkan pengaliran air dari sungai ke sawah-sawah. Hiburan seperti Mak Yong, main gasing, berlaga kerbau turut diadakan dikampungnya. Pekerjaan utama penduduk di situ pada masa itu hingga sekarang ialah menanam padi dan menoreh getah. . Dikatakan bahawa persilatan menjadi pokok utama dalam kehidupan penduduk kampung bukit Tok Setiu ialah kerana adanya satu temasya pertandingan silat.. Temasya ini telah diadakan pada tiap-tiap tahun. Kemasyuran nama Tok Setiu telah mendorong kepada penduduk-penduduk kampung menamakan tempat itu sebagai Setiu hinggalah sekarang menjadi satu daerah.


Dungun 
 

Inilah pokok Dungun.


Asal usul nama Dungun dikatakan bermula apabila pendatang daripada Kepulauan Indonesia iaitu Pagar Ruyung, Sumatera telah membuka kawasan di kawasan paya air tawar yang banyak ditumbuhi sejenis pokok di situ(paya) iaitu pokok Dungun atau nama saintifiknya 'Heritiera littoralis', keluarga 'Sterculiaceae'. Malah nama-nama kampung di Dungun juga terdapat di Indonesia seperti kampong Binjai, kampong Bemban, kampong Gombang dan sebagainya.

Suatu ketika dahulu, daerah Dungun terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih besi sebagai 'Lombong Bijih Besi Terbuka' terbesar di Asia tenggara pada tahun 1929 hingga 1960an. Aktiviti ini telah ditutup pada 1 Oktober 1970. Pada hari ini, Dungun terkenal dengan tempat yang menarik seperti di Pulau Tenggol, Teluk Gadong, hutan rekreasi Bukit Bauk, pantai Kuala Abang dan banyak lagi.


Kemaman

Pokok Maman yang biasa dibuat jeruk.


Nama daerah Kemaman pula dikatakan diambil daripada perkataan 'Maman' atau nama saintifiknya 'Cleome gynandra' iaitu merupakan sejenis pokok yang boleh mencapai ketinggian sehingga 1 meter. Pokok ini memiliki buah yang seakan-akan berbentuk kapsul panjang dan daun pokok ini boleh dijeruk dan juga dibuat sup. Menurut sumber, banyak kawasan di daerah ini memang ditumbuhi dan dipenuhi dengan pokok Maman. Ada juga sumber yang menyatakan Lebai Saras iaitu seorang bangsawan dari Patani di sekitar tahun 1880an(juga dikatakan sebagai peneroka awal daerah Kemaman)  sewaktu sampai di muara Sungai Kemaman telah melihat kera yang amat banyak meloncat-loncat memakan daun Maman. Dari sini  timbul idea bagi Lebai Saras  untuk menamakan 'Keramaman'(asalnya), iaitu gabungan antara perkataan Kera dan Maman, dimana lama kelamaan disebut sebagai Kemaman.

Nama dan lokasi daerah Kemaman sebenarnya telah disebut dalam beberapa sumber sejarah semenjak sekian lama. Dalam peta Semenanjung Tanah Melayu yang dihasilkan oleh Ptolemy, iaitu salah seorang ahli kaji bintang dan ilmu alam Greek yang hidup dalam kurun ke-dua Sebelum Masehi(SM) dipercayai dihasilkan di Iskandariah, Mesir, misalnya ada menunjukkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur yang dikenali dengan nama  Perimula dan juga Kole. Menurut catatan para sejarawan, mereka bersependapat mengakui bahawa  pelabuhan ‘Perimula’ yang dinyatakan oleh Ptolemy itu adalah ‘Kuala Sungai Terengganu’ manakala  pelabuhan 'Kole'  pula adalah ‘Kemaman’. Walaupun nama Kemaman atau gelarannya, Kole telah disebut dan dicatatkan semenjak sekian lama, namun sejarah awal terutamanya sejarah pembukaan daerah Kemaman masih kabur dan tidak begitu jelas. 


Besut 
 
Kesemua cerita yang mengaitkan asal usul nama daerah ini memang tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada bukti yang bertulis. Bukti yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit sebagaimana catatan Munsyi Abdullah dalam Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan dari buku 'Tuffatul Nafis' karangan Raja Ali Haji. Dalam catatan ini ada diceritakan mengenai sekumpulan pedagang dari Pattani(selatan Siam) telah datang ke Besut dengan diketuai oleh seorang yang bernama Cik Latif. Adalah dipercayai Cik Latif berasal dari Sumatera dan telah biasa berdagang di Pattani. Dengan menawarkan segantang mata kail dikatakan Cik Latif berjaya memujuk orang-orang Pangan keluar dari daerah ini ke Hulu Besut. Beliau dan orang-orangnya telah berjaya membina sebuah perkampungan di tebing sungai Besut yang diberi nama 'Palembang' mungkin mengambil nama sempena nama tempat asal beliau di Sumatera. Palembang merupakan pusat pentadbiran yang pertama di Besut sebelum Kampung Raja.

Selain itu terdapat cerita mengenai asal nama Besut kononnya berpunca dari zaman dahulu dimana dikatakan daerah ini merupakan salah sebuah kawasan dibawah kuasa Kerajaan Siam.  Mengikut salah satu cerita nama Besut timbul dari perkataan ‘BE’ yang dalam bahasa Siam bermakna ‘Daerah’  manakala ‘SUT’ menggambarkan satu tempat atau kawasan yang paling jauh atau penghujung. Ini mungkin betul berdasarkan faktor betapa jauhnya Bangkok yang merupakan Pusat Pentadbiran Siam dengan daerah ini.

Cerita lain mengenai asal usul nama Besut ialah berdasarkan cerita kononnya kawasan ini dahulunya diperintah oleh seorang raja yang digelar Raja Sang Nyanya. Beliau adalah ketua lanun yang sangat zalim dan ini menyebabkan tidak ramai orang yang tinggal di kawasan ini. Selepas kematiannya barulah kawasan ini didiami orang dan salah satu kumpulan penduduk terdiri dari orang Pangan. Kumpulan mereka diketuai oleh seorang yang bernama Besut jadi dipercayai nama Besut adalah berasal dari nama ketua orang pangan tersebut.

Besut merupakan daerah yang terletak di utara negeri Terengganu dan bersempadan dengan negeri  Kelantan kerana itulah penduduknya bertutur menyerupai loghat Kelantan. Antara tempat terkenal di Besut adalah Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

No comments:

Post a Comment