Info, Tempat Menarik, Makanan, Penginapan, Lain-lain, about Us

Monday 1 April 2013

Lagu Negeri Terengganu dan Sejarahnya

Semua rakyat Terengganu pasti  tahu kan lagu kebesaran negeri Terengganu iaitu Selamat Sultan, tapi tahukah kita pasal sejarah lagu tersebut dan penciptanya. Sebenarnya lagu tersebut telah beberapa kali mengalami proses tranformasinya sebelum yang kita dengar pada hari ini. Jom tengok sejarah lagunya jangan pandai nyanyi je ye….

Lagu ini telah digubah  pada tahun 1927 iaitu semasa pemerintahan Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Lagu ini digubah oleh cikgu Mohd Hashim bin Abu Bakar, seorang peranakan Singapura. Beliau pada masa tersebut menjadi seorang guru di Sekolah Melayu Paya Bunga Kuala Terengganu (Sekarang Sekolah Kebangsaan Paya Bunga) dan juga seorang guru Pancaragam Pasukan Pengakap Sultan Sulaiman.
Beliau telah mencipta dan menyusun lagu tersebut bagi menjunjung titah perintah Sultan ketika itu Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Setelah siap, ia telah didengarkan dan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan. Baginda telah mengampuni berkenan menerima lagu itu dan dijadikan ‘Lagu Selamat Sultan’. Susunan asal senikata lagu tersebut adalah seperti dibawah ni….

Allah peliharakan Raja kami
Sultan Terengganu Negeri
Allah peliharakan Raja kami
Sejahtera dua laki isteri
Allah peliharakan Raja kami
Memerintah Terengganu Negeri


Tidak lama kemudian selepas pemerintahan Jepun, susunan senikata lagu tersebut telah diolah oleh Pejabat Pelajaran Negeri Terengganu dan kekal sehinggalah 9 Mac 1990.

Allah peliharakan Raja kami
Memerintah Terengganu Negeri
Allah peliharakan Raja kami
Sejahtera suami isteri
Allah perliharakan Raja kami
Sentosa rakyat negeri


Pada tahun 1989, sekali lagi lagu ini mengalami tranformasi apabila ketika itu Allahyarham Dato’ Setia Jasa iaitu Dato’ Hj. Mohd Salleh bin Hj. Awang mencadangkan supaya senikata lagu ‘Selamat Sultan’ diubahsuai. Sehubungan dengan itu, Pentadbiran Negeri telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa yang disertai seramai lapan  orang dan diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Terengganu ( Y.B. Setia Wangsa ) bagi mengkaji semula senikata lagu ‘Selamat Sultan’. Kajian tersebut mendapati sebahagian senikatanya kurang sesuai dengan tatabahasa sekarang dan ada yang tidak sepadan dengan tatabahasa istana. Jawatankuasa ini telah membuat beberapa pindaan ke atas senikata lama lagu tersebut. Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ketika itu telah mengampuni berkenan dengan pindaan senikata lagu Selamat Sultan yang telah digunapakai sehinggalah hari ini (2013).

Allah daulatkan Tuanku Sultan
Terengganu Darul Iman
Allah peliharakan Tuanku Sultan
Sejahtera sepanjang zaman
Allah rahmatkan Tuanku Sultan
Memerintah rakyat aman




No comments:

Post a Comment