Info, Tempat Menarik, Makanan, Penginapan, Lain-lain, about Us

Monday, 15 April 2013

Bukit Puteri, Kuala Terengganu

Salah satu tempat menarik di Kuala Terengganu dan menyimpan banyak sejarah pembangunan bandar Kuala Terengganu ialah Bukit Puteri. Bukit Puteri terletak menghala ke Kuala Sungai Terengganu dan Laut China Selatan, kedudukan yang strategik dan kawasan yang berbukit menjadikan ia sebagai pusat kawalan pertahanan kerajaan pada zaman dahulu.

Asal usul nama Bukit Puteri ini tidak dapat dikesan tetapi dalam persejarahan Terengganu ada dinyatakan Bukit Puteri itu telah wujud sejak abad ke-16 lagi. Ia meliputi kawasan seluas 0.688 hektar dan tingginya lebih kurang 200 meter. Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II(1830-1839) dan Sultan Umar(1839-1870) Bukit Puteri telah menjadi benteng kubu peperangan saudara yang berlaku pada masa itu. Sejarah bermula pada kurun ke-18 apabila berlaku perebutan kuasa di antara tiga pihak yang ingin menguasai pentadbiran Kuala Terengganu ketika itu yang melibatkan Baginda Umar dengan Sultan Mansur Syah 11 dan Sultan Muhammad 1

Sejarah bermula apabila perbalahan ketiga-tiga pihak ini terdahulu yang akhirnya membawa kepada satu rundingan, dimana Tengku Mansur telah dilantik menjadi Sultan Terengganu. Sementara Baginda Umar pula dilantik sebagai Yang DiPertuan Besar. Namun begitu, pertelingkahan mereka tidak pernah padam. Sikap ingin menunjuk kuasa masing-masing ditambah dengan pertelingkahan yang sedia ada, rupa-rupanya telah mencetuskan satu perang saudara antara pihak Tengku Mansur dan Baginda Umar. Baginda Umar telah mengambil kesempatan menggunakan Bukit Puteri sebagai benteng pertahanan dari serangan Tengku Mansur yang berkubu di kawasan Balik Bukit. Namun begitu akhirnya Baginda Umar terpaksa mengalah dan meninggalkan Bukit Puteri. Mengikut catatan sejarah, Baginda Umar telah melarikan diri ke Besut kemudian ke Daik. Tengku Mansur yang bergelar Sultan Mansur Shah terus berkuasa semula dan memerintah takhta Kerajaan Negeri Terengganu. Setelah kemangkatan Sultan Mansur Shah II, Sultan Muhammad I telah dilantik menggantikan beliau. Dalam masa yang sama Baginda Umar yang melarikan diri ke Daik pulang ke Terengganu merampas takhta kerajaan negeri Terengganu dan orang-orangnya telah menyerang Bukit Puteri yang ketika itu menjadi tempat bersemayam Sultan Muhammad I. Disini berlakunya pertempuran hebat antara kedua belah pihak dan akhirnya kekalahan berpihak kepada Sultan Muhammad I, lalu beliau terpaksa berundur ke Dungun. Akhirnya giliran Baginda Umar pula yang menguasai Bukit Puteri. Sultan Muhammad I yang disingkirkan tidak berputus asa meminta pertolongan Tengku Hitam bagi menewaskan Baginda Umar. Beberapa bulan kemudian, gandingan Sultan Muhammad 1 dan Tengku Hitam dari Dungun cuba untuk menyerang Baginda Umar yang berkubu di Bukit Puteri dalam usaha merampas kembali takhta kerajaan namun cubaan tersebut telah gagal.

Kesan peninggalan sejarah ini boleh di atas bukit ini. Di bukit ini, terdapat sebatang tiang bendera untuk dinaikkan bendera diraja pada hari-hari kebesaran seperti istiadat pertabalan. Rumah api juga turut dibina di penjuru bukit dan boleh dilihat dengan jelas dari muara Sungai Terengganu. Memandangkan penduduk-penduduk Terengganu ketika itu kebanyakkannya adalah nelayan dan pedagang, maka Rumah Api ini amatlah penting. Pada masa dahulu juga terdapat beberapa pucuk meriam yang diletakkan di atas benteng yang menghala ke laut dan darat. Kini meriam-meriam itu ada di atas tanah sahaja tanpa dijaga dan sesetengahnya pula dipindahkan ke beberapa tempat di bandar Kuala Terengganu dan juga ke kawasan Istana Badariah sebagai hiasan. Meriam-meriam ini terdiri daripada pelbagai jenis. Ada yang buatannya dari negara Sepanyol dan Portugis. Tidak ketinggalan juga meriam buatan dari Tanah Melayu. Meriam-meriam ini diberikan nama yang berlainan seperti Seri Johor, Seri Bueh, Seri Jamior dan Laila Majnun. Tetapi, apa yang menarik perhatian mengenai meriam-meriam ini ialah tentang 'Seri Bueh' atau lebih dikenali dengan panggilan Meriam Beranak. Terdapat juga sebuah loceng besar atau Genta yang sentiasa ada di atas Bukit Puteri sejak dahulu, sekiranya rosak ia akan diganti dengan yang lain pula. Genta tersebut dibuat oleh seorang tukang bernama wan Ali Awang dengan dibantu oleh beberapa tukang dari Kampung Tanjung dan Kampung Paya, Kuala Terengganu. Genta ini akan dibunyikan sebagai isyarat kepada penduduk kampung bila berlakunya peristiwa seperti kebakaran, kejadian amuk dan serangan pihak musuh. Genta juga digunakan pada bulan ramadhan, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji .Namun adat ini telah dimansuhkan pada zaman pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Semenjak itu genta ini tidak dibunyikan lagi. Kini genta ini telah ditempatkan di dalam sebuah pondok berjaring dikenali sebagai Pondok Genta.


Lagenda Bukit Puteri

Terdapat cerita lain yang menarik tentang asal usul Bukit Puteri. Ada cerita mengatakan Datok Bendahara Padang Saujana Johor telah menghantar wakilnya iaitu Megat Seri Rama untuk memerintah Terengganu pada kurun ke-17. Namun pada masa itu bukit ini sudah dikenali sebagai Bukit Puteri. Kisah yang lain pula menyatakan bahawa Bukit Puteri berasal dari nama Tuk Raja Menteri dari Johor yang datang ke Terengganu dan membuka bukit ini.

Kisah yang paling terkenal dikalangan penduduk setempat sejak berzaman menyatakan Bukit Puteri mendapat namanya keran ia menjadi kediaman bagi Puteri Bunian, seramai tujuh beradik dan dikatakan asal lagu 'Ulek Mayang' ada kaitannya dengan puteri-puteri ini. Penduduk kampung ketika itu selalu datang berjumpa Tuan Puteri untuk meminjam pinggan mangkuk bagi mengadakan majlis nikah-kahwin atau majlis keramaian yang lain. Malangnya ada di antara mereka yang tidak memulangkannya kembali dan ada yang pecah pula tidak diganti. Oleh kerana sikap penduduk-penduduk yang tidak amanah itu, Tuan Puteri telah merajuk dan lari ke Bukit Bintang di daerah Besut. Malah lubang bedil yang terdapat pada Bukit Puteri ini asalnya dikatakan sebagai tempat Tuan Puteri menyimpan pinggan mangkuk.
 
Walaupun berabad sudah, Bukit Puteri masih tersergam berdiri di samping Istana Maziah dan menyimpan pelbagai rahsia sejarah silam Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman. Sehubungan dengan itu, pelbagai kemudahan dan perubahan dilakukan namun keaslian sejarah di Bukit yang masih misteri ini tetap terpelihara. Kini Bukit Puteri menjadi salah satu tempat tarikan pelancongan di Terengganu dan ia diletakkan di bawah pengawasan dan penjagaan Muzium Negeri Terengganu,
Bukit Puteri

Bukit Puteri dari jauh

Tangga naik

Untuk naik ke Bukit Puteri kena la lalu ikut tangga ni, di Bazar Warisan, hadapan Pasar Payang.

Kaunter Tiket

Kaunter tiket, harga bagi kanak-kanak RM0.50 dan dewasa RM1.00 sahaja. Dibuka setiap hari dari pukul 8.00 a.m hingga 5.00 p.m

Meriam Beranak

Meriam ini dinamakan Meriam Beranak kerana kedudukannya yang berdekatan diantara satu sama lain dan mempunyai ukuran yang berbeza. Meriam yang berukuran besar dikatakan sebagai ibu kepada meriam yang berukuran kecil.

Permandangan

Dari atas Bukit Puteri kita boleh menikmati permandangan Kuala Sungai Terengganu.

Genta

Genta ini berukuran lilitnya lebih kurang 228 cm dan tingginya 78 cm. Beratnya 175 kg dan diperbuat daripada tembaga kuning. Ia akan dibunyikan apabila sesuatu bencana berlaku seperti orang mengamuk, kebakaran atau musuh melanggar negeri. Apabila dibunyikan, pembesar-pembesar raja dan segala hamba sahaya akan menuju ke istana dan bersiap sedia dengan senjata dan bersedia untuk menolong.Genta ini juga digunakan pada bulan Ramadhan(puasa) bagi menandakan waktu berbuka dan juga masuknya waktu sahur dan imsyak. Kebiasaanya selepas genta dibunyikan ianya diikuti dengan tembakan 1 das meriam.

Kubu

Kubu ini dijadikan sebagai benteng pertahanan semasa berlakunya peperangan saudara diantara Baginda Umar dengan Sultan Mansur II pada tahun 1831 dan Sultan Muhammad I pada tahun 1839 kerana berebut takhta Kerajaan negeri terengganu. Kubu ini dibina oleh Baginda Umar yang diperbuat daripada batu bata dan diperkukuhkan dengan campuran kapur, pasir garam, putih telur dan madu.

Singgahsana

Singgahsana ini dibina oleh Sultan Baginda Umar sebagai tempat Baginda bersemayam bagi membincangkan pelbagai strategi dengan pembesar-pembesar.

Meriam

Antara meriam-meriam disini, ia menghala ke darat dan juga lautan sebagai pertahanan serangan musuh.

Lubang bedil

Lubang ubat bedil. Lubang ini terletak di belakang singgahsana. Lubang ini digunakan untuk menyimpan ubat bedil yang digunakan semasa berlaku peperangan saudara pada tahun 1831 dan 1839.

Tiang bendera

Tiang bendera ini didirikan pada masa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah bagi menggantikan tiang bendera yang telah dibina oleh Sultan Zainal Abidin III. Ketinggian tiang bendera ini lebih kurang 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter dan telah didirikan pada 12 Zulhijah 1316 Hijrah bersamaan 22 April 1899 Masehi ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Istiadat menanam tiang ini dilakukan dengan penuh istiadat dan dituruti dengan tembakan meriam sebanyak 16 das.

Keterangan

Keterangan tentang Rumah Api ini.

Rumah api

Rumah Api ini bertujuan sebagai panduan kepada nelayan-nelayan dan pelut-pelaut memasuki pelabuhan Kuala Terengganu. 'Rumah api' ini tingginya lebih kurang 10 meter. Ia juga dikenali sebagai "Tanda Kuala Negeri" kerana peranannya yang begitu penting kepada para pelaut-pelaut dan nelayan-nelayan masa dahulu.

Kubur Syed Yasin

Kubur Syed Yasin bin Akil, dilahirkan di Sumatera dan keluarganya berasal dari Hadramaut, Syed yasin telah berhijrah ke negeri Terengganu dan berkahwin dengan Che Siti, puteri Sultan Zainal I. Beliau telah dilantik menjadi seorang pembesar negeri Terengganu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin I.

Kubur-kubur

Kubur-kubur lain yang terdapat, tak pasti kubur sape tapi menurut sejarah bukit ini memang kawasan perkuburan pada suatu masa dulu.

Landskap di Bukit Puteri

 

 

 


No comments:

Post a Comment